Tampilkan postingan dengan label Infro Islam. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Infro Islam. Tampilkan semua postingan

Minggu, 22 Oktober 2006

Raya Petunjuk Kualiti Ibadat Puasa

SETELAH hampir sebulan Ramadan, esok umat Islam menyambut satu Syawal dengan penuh gembira. Nikmat satu Syawal bermakna kita kembali kepada fitrah. Sebab itu, hari raya satu Syawal dikenali sebagai I'dul Fitri.

Ramadan sebagai satu sekolah atau institut yang bertujuan melahirkan generasi bertakwa hampir musnah matlamatnya apabila menjelangnya raya. Dalam bulan Ramadan, umat Islam gigih berpuasa dan beribadat. Namun apabila tibanya cahaya Syawal, semuanya hanya tinggal kenangan.

Apakah amalan-amalan sunat pada hari raya?
Bagi menjaga kelangsungan ibadah bulan Ramadan agar terus berkesinambungan dalam awal Syawal, ini adalah senarai amalan yang baik dilaksanakan pada hari raya.

1. Menghidupkan malam raya dengan ibadat seperti zikir, solat, tilawah al-Quran, takbir, tasbih dan istighfar.

Ini adalah senarai amalan yang sering diabaikan pada malam raya. Didapati masjid dan surau lengang. Malah untuk melihat saf solat macam solat terawih sudah tidak nampak lagi. Kalau semasa Ramadan, masjid melimpah-ruah dengan para jemaah, kini mungkin hanya tinggal pak imam dan bilal sahaja.

Tilawah al-Quran juga diabaikan. Apa yang nak dibaca lagi. Sudah khatam al-Quran pada malam 27 Ramadan seolah-olah khatam al-Quran penutup daripada membaca kitab suci itu. Takbir raya pun hanya sekadar rakaman di televisyen dan radio sahaja.

Sebenarnya, menghidupkan malam raya dengan amal ibadat ini besar fadhilatnya. Diriwayatkan satu sabda Nabi s.a.w. maksudnya : Sesiapa yang bangun malam raya Fitrah dan malam raya Adha dengan mengharapkan pahala, nescaya tidak akan mati hatinya pada hari mati sekelian hati. (Riwayat Ibnu Majah).

2. Solat Isyak dan Subuh berjemaah.

Ini adalah sekurang-kurang kaedah bagi menghidupkan malam raya. Solat Isyak mungkin OK tapi solat Subuh kebanyakannya KO. Masjid lengang juga waktu solat Subuh tetapi penuh sesak ketika solat hari Raya.

3. Mandi sunat hari raya, memakai baju yang elok dan memakai wangian. Alhamdulillah, bab ini tak ada masalah. Bahkan dua bulan sebelum raya lagi, ramai umat Islam sudah membeli kain untuk dijadikan baju raya. Bukan satu bahkan dua atau tiga pasang setiap seorang.

Mandi sunat hari raya waktunya sekitar awal pagi sebelum Subuh lagi. Kalau mandi sunat selepas solat Subuh tidak mengapa. Menjadi sunnah Nabi s.a.w. untuk mandi pada hari raya.

Begitu jugalah digalakkan agar memotong kuku. Mungkin juga elok jika rambut yang panjang bagi lelaki dipotong pendek.

4. Makan sedikit dahulu sebelum solat raya Fitrah. Maknanya elok diambil sedikit sarapan sebelum pergi ke tempat solat Raya. Hikmatnya bagi menyatakan bahawa hari ini bukan untuk berpuasa tetapi hari untuk makan. Mengikut sunah Nabi s.a.w., Baginda makan beberapa biji tamar. Anas r.a. berkata : "Adalah Nabi s.a.w. tidak beredar pada Hari Raya Aidilfitri hinggalah Baginda makan beberapa biji tamar". (Riwayat Bukhari).

Bab ini pun tidak ada masalah. Cuma mungkin kurang sunahnya apabila dimakan terlalu banyak dengan pelbagai jenis makanan. Ada ketupat, masak rendang, lemang, kuih-muih, laksa dan sebagainya.

5. Segera ke tempat solat untuk menanti solat Raya. Seeloknya berjalan kaki ke tempat solat. Inilah yang sunah kerana ada disebut dalam riwayat Tirmizi bahawa daripada sunah untuk keluar kepada hari raya dalam keadaan berjalan kaki.

Tapi tengok jugalah berapa jauh. Kalau satu atau dua kilometer bolehlah berjalan kaki, tetapi kalau sepuluh kilometer, fikir-fikirlah sendiri.

6. Menzahirkan kegembiraan, ziarah menziarahi keluarga terdekat, kaum-kerabat dan sahabat-handai. Dengan ini akan terjalinlah kemesraan dan mahabbah kasih sayang antara umat Islam. Malangnya amalan ini mungkin kurang sikit. Ramai juga yang terperangkap dengan program televisyen yang memang mengasyikkan.

Hari raya memang baik untuk ziarah, bahkan tuan rumah memang sentiasa menanti kerana ada konsep 'rumah terbuka'.

7. Banyak bersedekah. Yang wajibnya hanya zakat fitrah tetapi kalau ada kemampuan, tak ada salahnya untuk bersedekah sunat. Mungkin inilah yang menjadi amalan tradisi memberi duit raya kepada kanak-kanak. Tak ada salahnya lagipun ia amalan sedekah yang dituntut. Kanak-kanak pula lagilah suka dan seronok apabila mendapat duit raya.

Sedekah juga amat digalakkan sepanjang bulan Ramadan. Apabila ditanya tentang sedekah yang afdhal, sabda Nabi s.a.w. : Sedekah pada bulan Ramadan. (Riwayat Tirmizi).

Bagaimana dengan amalan menziarahi kubur?

Adakah ziarah kubur ini sunat pada hari raya? Ada orang yang tidak menggalakkan ziarah kubur pada hari raya.

Walau bagaimanapun, ziarah kubur memang dituntut dalam Islam agar dapat mengingatkan kepada mati. Cuma, anak-anak muda sekarang banyak menetap di bandar-bandar besar. Jadi peluang menziarahi kubur kaum keluarga ketika pulang ke kampung. Kalau ditegah, alamatnya lambatlah nak ziarah kubur.

Yang penting, umat Islam perlulah bersedia untuk meneruskan kualiti ibadah puasa dengan menjaga kesinambungannya selepas berlabuhnya tirai Ramadan.

Antara perkara yang tidak mengikut syariat ketika berhari raya:

1. Pakaian mendedahkan aurat

Dedah aurat ini hukumnya tak boleh dalam Islam. Kebetulan pula hari raya ini berkumpul saudara mara, sahabat-handai, sepupu dan sebagainya di rumah, maka waktu inilah aurat agak terbuka. Waktu ini jugalah hendak melawa sambil menunjuk barang kemas yang ada sampai ke lengan, leher dan subang di telinga.

2. Bersalaman antara lelaki dan wanita yang bukan mahram

Kes begini selalu berlaku ketika hari raya. Mengikut hukum Islam, tidak berapa boleh juga hendak bersalaman antara lelaki dan wanita yang bukan mahram. Kalau mahram tidak mengapa. Mahram ini ialah muhrim dalam bahasa orang Melayu. Mahram ialah orang yang tak boleh berkahwin dengan seseorang. Contohnya A, seorang lelaki. Mahramnya ialah ibu, nenek, ibu saudara, adik atau kakak kandung. Kalau B pula, seorang wanita maka mahramnya ialah bapa, datuk, bapa saudara, adik atau abang kandung.

Nabi s.a.w. tidak pernah menyentuh wanita yang bukan mahramnya. Hinggakan pada waktu perjanjian atau baia'h, Nabi s.a.w. hanya membuat perjanjian dengan suara sahaja bersama wanita, bukan dengan berjabat tangan atau shake hand. Tetapi masa hari raya, bab salam ini kira borong sekali. Kawan sekelas, abang angkat, kakak angkat dan macam-macam hubungan yang tak mahram sudah jadi lain. Kalau nak bersalam juga, boleh tetapi biarlah berlapik dengan kain sebagai contoh.

3. Terlalu banyak makan minum
Memang hari raya hari yang tak boleh berpuasa. Maknanya kena makan. Tetapi walaupun Islam suruh makan, tetapi prinsip sederhana dalam makan hendaklah diutamakan. Banyak penyakit moden puncanya adalah terlebih makan. Diabetes, tekanan darah tinggi, lemah jantung, obesiti dan lain-lainnya adalah berpunca terlebih makan.

4. Rumah terbuka, masjid tutup

Memanglah majlis rumah terbuka amalan mulia. Sambil menjamu selera, dapat beramah mesra dan berkenalan dengan sanak-saudara. Yang tak baiknya, masjid pada hari raya sudah ditutup. Yang tinggal tok imam dengan bilal sahaja. Bulan Ramadan masjid meriah, tiba-tiba pada hari raya masjid ditutup pula.

5. Budaya terperap di rumah

Hanya menonton televisyen merupakan satu budaya yang kurang baik. Masa terbuang dan ziarah merapatkan silaturahim pun kurang.

KESIMPULAN

Hari raya adalah simbolik kepada kejayaan kita beribadat. Namun kemenangan ini tercalar apabila kita tidak meraikan hari raya dengan dengan berpandukan hukum agama.

Rabu, 11 Oktober 2006

Lailatul Qadar






AMALAN Rasulullah SAW dan sahabat pada malam akhir Ramadan untuk mengisi Lailatul Qadar. Antaranya:

  • Mandi, berpakaian indah dan berharum-haruman

Diriwayatkan oleh Ibnu Abi `Asim bahawa Huzaifah pernah mengerjakan qiyam Ramadan bersama Rasulullah SAW dan melihat bahawa Baginda mandi pada malam itu.

Ibnu Jarir pula berkata bahawa sahabat menyukai mandi pada malam-malam akhir Ramadan.

Demikian pula beberapa riwayat daripada sahabat seperti Anas bin Malik dan ulama pada masa Tabi'in menyatakan bahawa mereka akan mandi, memakai baju indah dan berharum-haruman apabila berada pada akhir Ramadan.

Apa yang dilakukan oleh Rasulullah, sahabat dan Tabi'in ini adalah satu upaya untuk menyambut dan meraikan kedatangan Lailatul Qadar, sambil berdoa mendapatkan keampunan dan keberkatan malam itu.

  • Melaksanakan solat sunat, iktikaf dan membaca al-Quran.

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan satu hadis daripada Aishah, bermaksud: ''Adalah Rasulullah apabila telah masuk 10 akhir daripada Ramadan, maka Baginda akan menghidupkan malam-malamnya, membangunkan keluarganya dan mengikat pinggangnya.''

Dalam salah satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dari Amru bin `Ash bermaksud: ''Barang siapa yang solat pada malam Ramadan dan membaca 10 ayat daripada al-Quran maka dia tidaklah dicatat sebagai orang yang lalai.''

Mengerjakan solat dan membaca al-Quran pada pada malam yang akhir ini sangat penting hingga dalam salah satu riwayat dikatakan bahawa Rasulullah SAW melakukan solat pada malam Ramadan dan membaca al-Quran dengan tertib.

  • Memperbanyakkan doa.

Rasulullah SAW bersabda doa adalah otak segala ibadat. Doa juga kunci daripada semua ibadat. Aishah diperintahkan oleh Baginda untuk memperbanyak doa pada 10 malam terakhir Ramadan.

Dalam satu hadis daripada Aishah diriwayatkan at-Tirmizi, Aishah diajar oleh Rasulullah SAW membaca doa pada malam al-Qadar.

Ulama bersepakat bahawa doa yang paling utama pada malam al-Qadar adalah doa yang meminta keampunan dan kemaafan daripada Allah. Perkara ini seperti doa yang diajarkan Rasulullah kepada Aishah. Doanya berbunyi: ''Allahumma innaka afuwun tuhibbul afwa fa' fu anni (maksudnya, Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Maha Pengampun, yang suka Maha Mengampun, maka ampunilah aku ini).''

Pada malam itu Allah akan mengabulkan semua permohonan dan doa, terkecuali terhadap empat golongan manusia. Ibnu Abbas berkata: ''Semua doa pada malam itu diterima terkecuali doa orang meminum arak, anak yang derhaka kepada ibu bapa, orang yang selalu bertengkar dan mereka yang memutuskan silaturahim.''

Selasa, 03 Oktober 2006

Memancing 1 Syawal haram

Memancing atau melakukan hobi lain seperti memburu pada hari pertama Aidilfitri hukumnya berdosa kerana perbuatan itu bertentangan dengan syariat Islam, kata pendakwah-pendakwah dan perunding -perunding motivasi.

Tindakan demikian adalah mengingkari sunnah Rasulullah dan perintah Allah kerana Aidilfitri disambut bukan semata-mata untuk berseronok tetapi sebagai satu syariat dan ibadat.

Aidilfitri bukan satu adat sehingga boleh dipandang ringan oleh umat Islam. Ini terbukti apabila Allah turut mengharamkan umat Islam berpuasa pada 1 Syawal sebagai membuktikan Aidilfitri mesti diraikan selepas sebulan berpuasa Ramadan.

'Aidilfitri bukan adat tetapi ibadat sehingga Allah mengharamkan kita berpuasa pada 1 Syawal. Oleh itu, seseorang yang sengaja lari daripada menziarahi sanak-saudara, bermaaf-maafan dan menerima kunjungan rakan dan keluarga maka hukumnya berdosa.

'Tindakan pergi memancing boleh merenggangkan silaturahim dan mencetuskan tanggapan buruk kerana pada Aidilfitri ini, Allah menyuruh kita saling ziarah menziarahi, saling bermaaf-maafan selain solat sunat.

'Allah dan Rasulullah menyuruh kita berhari raya tetapi dengan mengikut syarikat dan landasan sebenar.

Oleh itu, kalau ada sesiapa yang hendak pergi memancing atau berburu pada 1 Syawal maka lakukan pada hari lain. Banyak lagi masa yang boleh kita lakukan. Aidilfitri hanya sekali setahun.

Sikap sesetengah kaki pancing yang meninggalkan rumah pergi memancing selepas solat sunat Aidilfitri adalah tidak bagus dan haram,sama ada pergi memancing sama di kolam komersial mahupun trip memancing di laut dalam atau jauh ke tengah hutan selama beberapa hari.Nasihat saya, memancinglah hari lain, kerana bagi saya, perbuatan ini tidak patut. Kalau Allah pun mengharamkan kita berpuasa pada 1 Syawal inikan pula memancing sebagai satu hobi.

Saya menasihatkan pilihlah hari lain demi anak isteri dan keluarga. Lakukan ziarah kubur, ziarah ibu bapa dan keluarga kita adalah dituntut oleh Islam.

Kalau hendak memancing juga, tunggulah seminggu atau dua minggu selepas itu. Kalau tidak, janggal rasanya dan orang lain tentu rasa pelik dengan cara kita.

Senin, 02 Oktober 2006

Bazar Ramadan


Siapa Tu...Bergini lah suasana di sepanjang bulan Ramadan.Apabila bulan puasa tiba bazar ramadan menjadi tumpuan orang ramai untuk membeli juadah untuk berbuka puasa.Tahun demi tahun macam biasa isteri aku akan ambil satu tapak bazar untuk jualannya.Bazar ramadan ini terletak di Terminal Larkin Johor Baharu,Malaysia.Gambar yang diatas tu ,aku sedang tolong isteri aku berniaga .Antara juadah yang dijual.....



Yang Di atas tu Ikan bakar,ada ikan pari.siakap,Bawal,caru dan lain lagi.Kan aku dah cerita pada episod yang lepas-lepas,ini lah dia ikan bakar.Pelangan tetap ikan bakar memang sudah ada.Singaporean juga ramai yang gemar dengan ikan bakar jualan isteri aku.Kadang-kadang ada setengah pelangan tu ,tiap-tiap hari ikan bakar -ikan bakar. Selain dari tu tak ketinggalan jualan kuih-muih ,otok-otak,lemang dan bermacam-macam lagi.
Si kecil anak ku juga tak ketinggalan untuk menolong ibu nya berniaga.

Yang ni anak saudara aku yang sentiasa menolong isteri aku .Farid namanya.

Minggu, 24 September 2006

Renungan Bulan Puasa

Rasulullah Berpesan: Ikhlas Beramal Bentuk Jiwa Bersih

ORANG yang berpuasa dengan penuh keimanan dan keikhlasan terhadap Allah semata-mata, akan dapat membentuk jiwa bersih.

Mereka dapat menahan nafsu sama ada nafsu jantina, makan, minum serta melawan diri daripada melakukan sifat tercela seperti mengumpat dan mengeluarkan kata-kata kotor dan lucah.

Begitu juga dari segi kesihatan. Inilah masanya tubuh kita berehat selepas sepanjang masa bekerja.

Al-Tobrani meriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Berperanglah kamu nescaya kamu akan mendapat rampasan perang, berpuasalah kamu nescaya kamu sihat dan musafirlah kamu nescaya kamu senang."

Puasa juga mempunyai rahsia di sudut kemasyarakatan iaitu memupuk perasaan rahmat dan kasihan belas terhadap anak yatim dan fakir miskin.

Oleh itu, jadikan Ramadan dan ibadat puasa tahun ini sebagai madrasah yang dapat mendidik keimanan dan ketakwaan.