Tinjau, kaji lokasi sebelum memancing
BANYAK tindakan pemancing di Malaysia berbeza dengan rakan mereka di Barat. Pemancing di negara itu banyak melakukan kajian dan persiapan sebelum pergi memancing di lokasi.
Adalah bijak jika tidak terus pergi memancing di lokasi baru tanpa mengkaji latar belakang lubuk itu.
Sebaliknya, adalah bijak jika anda melakukan tinjauan terlebih dulu dengan membawa beberapa kelengkapan untuk melakukan pemerhatian terhadap tabiat ikan, kedudukan lubuk dan meninjau persekitaran.
Ringkasnya, semakin anda tahu air di situ, semakin banyak rahsia akan terungkap daripada di dalamnya.
Pemancing di Barat akan membuat tinjauan terperinci sebelum sesi memancing dilakukan. Mereka akan membawa kertas untuk melakarkan di mana air yang dalam dan cetek, kedudukan rumpai dan ranting serta kedudukan cahaya matahari.
Contohnya, kedudukan kiambang dan teratai perlu anda tahu kerana di situ adalah tempat kegemaran spesies kap.
Jika anda melihat pulau kecil dan rimbunan rumput di tengah tasik maka itu petanda di situ menjadi tempat ikan berkumpul.
Adalah menjadi tabiat ikan berlindung dan bernaung di rimbunan rumpai khususnya untuk keselamatan dan ketika panas terik.
Keupayaan umpan anda menjangkau ke lubuk itu menjamin tangkapan lumayan.
Ketika melakukan tinjauan dan pemerhatian, anda memerlukan:
1 Topi –Tudung kepada yang lebar akan melindungi kepala dan mata anda daripada panahan cahaya matahari yang terik serta menyilaukan.
2 Teropong – Alat ini akan membolehkan anda mengesan tanda-tanda kilasan serta gerombolan ikan.
3 Kasut – Pakai kasut yang ringan, selesa dan betul-betul muat serta kalis air.
4 Kacamata – Jangan sekali-kali meninggalkan kacamata polaroid di rumah atau dalam kenderaan. Kacamata akan mengurangkan silau sekali gus ia menjadi tingkap anda untuk menjenguk masuk ke dasar dunia ikan.
5 Roti – Hampir kebanyakan ikan berselera dengan roti. Menabur roti akan membantu anda mengenali ikan di sesuatu lubuk.
6 Kertas lakar – Adalah bijak jika anda membuat satu lakaran mengenai lubuk yang diteroka itu bagi menentukan kedudukan beberapa perkara sebelum trip memancing sebenar dilakukan.