Masalah yang kerap dialami kebanyakan pemancing di kolam ialah keberkesanan umpan untuk menjerat ikan terberat untuk menjuarai pertandingan. Memang tidak dinafikan hadiah yang ditawarkan semakin meningkat untuk menarik ramai kaki pancing.
Di kolam air tawar, patin dan tongsan biasanya mendahului kedudukan ikan paling berat kerana saiz dan fizikal ikan itu adalah besar. Ketika ini, penulis tidak berani untuk memberitahu umpan khusus paling mujarab kerana ada pelbagai jenama dedak dan ramuan rahsia pemancing sendiri. Semua umpan ini digemari ikan dan berjaya menawan pelbagai saiz ikan berkenaan.
Jadi sukar mencadangkan jenama dedak yang digunakan kerana cita rasa ikan saling berbeza. Terbaru, penulis dapati ‘dedak hong’ dan dedak dinding merah menjadi pilihan. Ia diadun dengan perisa vanila, pandan, coklat dan kelapa.
Ada juga berbau seperti ramuan cacing atau cendawan yang dijual dalam bekas botol kecil.
Jadi, jika ditinjau umpan ini jelas baunya juga memainkan peranan penting selain saiz gumpalan dedak yang perlu dipasang pada mata kail. Selain itu, adunan mesti pejal dan tidak mudah terurai ketika dilontar serta tahan lebih lama dalam air selain mampu mengeluarkan bau bagi menarik perhatian ikan.
Bagi penulis, yang penting ialah kita cuba membuat penilaian sendiri kerana ramai pemancing enggan berkongsi info dan rahsia umpan mereka. Bila diuji ramuan mana yang membuka selera ikan, kita boleh membuat pilihan terbaik.
Belajar daripada pengalaman adalah sumber ilmu yang tidak ternilai manakala berguru dengan pemancing handal adalah ilmu terbaik, membaca sumber rujukan seperti bahan bacaan pula adalah ilmu teras, melihat dan meniru pemancing lain pula ilmu yang tidak salah diikuti. Manakala dibantu oleh alatan terkini pula adalah ilmu sampingan yang perlu dipelajari.